Penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow memaklumkan ada banyak menerima tawaran untuk bersama satu pentas dengan rakan seperjuangannya, Malique selepas timbulnya desas desus mengatakan bekas ahli kumpulan Too Phat itu bakal melakukan ‘comeback’.

Artikel Berkaitan: Muat Naik Foto Di Studio Rakaman, Malique Is Back?

Belum tiba masanya

Walau bagaimanapun, Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak menegaskan bahawa masih belum tiba masanya untuk mereka bersama menghiburkan peminat di atas satu pentas yang sama.

Saya dapat banyak tawaran persembahan bersama Malique. Kalau saya nak cakap jumlah tawaran diberikan, rasanya tinggi nilainya.

Saya selalu cakap wang bukan segala-segalanya. Mungkin ada pihak penganjur menganggap bayaran tinggi boleh mempengaruhi keputusan saya untuk membuat persembahan dengan dia.

Lebih-lebih lagi sejak dia membuka akaun Instagram, semakin banyak penganjur menawarkan tawaran persembahan untuk Too Phat.

Joe berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama anak yatim kerjasama Universal Music bertempat di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya pada Rabu.

Terbuka untuk bekerjasama

Dalam masa yang sama, penyanyi rap berusia 46 tahun ini tidak menolak akan bekerjasama dengan Malique namun menyerahkan segala keputusan kepada rakannya itu.

Insya-Allah kita doakan, jika Malique mendengar apa saya katakan ini, ia terpulang kepada kamu bro. Keputusan di tangan kamu. Saya sentiasa bersedia.

Saya terbuka berkolaborasi bersamanya, bayar RM1 pun saya akan lakukan malah kalau tiada bayaran juga saya tak kisah.

Kalau saya yang kena bayar pun saya akan buat (kolaborasi bersama).

Ketika ditanya mengenai kemunculan semula Malique, pelantun lagu ‘Satu Malam Di Temasek’ ini enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu orang ramai membuat sebarang andaian.

Saya rasa itu satu perkara istimewa untuk dunia hip hop kerana kita rindukan kehadirannya dan suaranya.

Memang kita dah lama nantikan dan raikan dia buat kemunculan semula. Dia pun sudah keluar dengan beberapa buah lagu dengan artis baru sebelum ini.

Buat masa ini kami masih belum berhubung lagi. Saya pun tidak mahu bercerita lebih sangat kerana tidak mahu membuat sebarang andaian.

Sekadar info, Malique atau nama lengkapnya Cairel Edrin Ibrahim mencuri perhatian apabila muncul dengan beberapa akaun di media sosial pada Februari lalu.

Sejak daripada itu, ramai peminat yang mula membuat andaian dan meluahkan rasa teruja mereka melihat penyanyi rap kesayangan mereka sudah mula aktif di media sosial.

Untuk rekod, Joe dan Malique menubuhkan kumpulan Too Phat pada 1998 sebelum masing-masing memilih untuk meneruskan kerjaya solo pada tahun 2007.

Sejak daripada itu, Malique mengambil keputusan untuk menghilangkan diri dan tidak lagi muncul di kaca televisyen.