
Penyanyi dan pelakon, Noki mengakui dirinya masih mencari pasangan hidup dan tidak menafikan mengimpikan wanita dari Pantai Timur sebagai bakal isterinya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Noki K-Clique Target Kahwin Tahun Ini, ‘Cemburu’ Tengok Kawan-Kawan Dah Berkeluarga – ‘Saya Nak Wanita Bertudung, Faham Agama & Kerja Saya’
‘Saya suka wanita Kelantan dan Terengganu’
Ketika ditemui OhBulan!, Noki atau nama lengkapnya Ahmad Ikhwan Aji, 31, menyifatkan wanita yang berasal dari Pantai Timur memiliki keayuaan dan kecantikan tersendiri.
Sebelum ini, ada orang pernah tanya, saya suka perempuan dari negeri mana? Kalau diberi pilihan, saya suka wanita Kelantan dan Terengganu.
Saya tengok wanita bertudung, berwajah campuran kebanyakannya dari Pantai Timur, cantik dan manis.
Noki berkata demikian ketika ditemui majlis ramah mesra dan berbuka puasa Stars Powerhouse Entertainment di sebuah hotel, pada Jumaat.
Pelakon filem Soloz: Game Of Life ini turut menafikan dakwaan bahawa dirinya sudah memiliki kekasih, sebaliknya mengakui masih dalam usaha mencari wanita yang bakal menjadi suri hidupnya.
Tak adalah. Cuma saya teruja juga mahu merasai pengalaman berhari raya di Kelantan dan Terengganu sebab tahun ini, ada kawan saya ajak beraya di sana memandangkan saya tak balik Sabah.
Saya pun tak pernah beraya di sana, jadi nak juga merasa macam mana beraya di negeri orang. Mana tahu, kalau terjumpa jodoh di sana, saya pun tidak menolak.
Pelantun lagu Payung Pelangi ini juga mengakui sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Saya dah bersedia sahaja nak kahwin, cuma jodoh belum sampai. Keluarga pula tak kisah saya pilih orang mana, asalkan bertudung dan menutup aurat.
Bukan cakap yang tak bertudung itu kita tidak boleh ubah, tetapi lebih senang jika wanita yang bertudung itu lagi kerana dia sudah faham agama. Bagi saya, wanita bertudung mungkin lebih tahu batasnya bagaimana dan sebagainya.
Saya pun mahu seorang wanita yang boleh membawa ke jalan yang baik sebab saya tahu diri ini pun tak kuat, senang betul terpengaruh dengan orang.